Monday, 6 June 2011

PELABURAN YANG SIA-SIA

Suatu hari, sedang seorang hamba Allah berjalan-jalan di sebuah pasar di salah sebuah bandar terkemuka di Malaysia, tiba-tiba kedengaran suara seorang anak memujuk ayahnya, “Abah, abah..adik nak baju tu”, sambil si anak menudingkan jarinya ke arah baju-baju yang bergantungan. Dipendekkan cerita, rupa-rupanya si anak tadi telah jatuh hati dengan baju t-shirt yang mempunyai gambar seorang penyanyi tersohor tanahair hasil produk daripada salah sebuah akademi hiburan paling popular di Malaysia. 

Artikel ini di tulis bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa, cuma sekadar ingin membuka minda kita tentang fenomena hiburan yang melanda masyarakat di Malaysia. Malaysia kini dilanda demam Realiti TV yang mewarnai persada hiburan tanahair. Trend masa kini menyaksikan populariti peserta rancangan Realiti TV kini melebihi artis sedia ada yang telah lama bertapak di pasaran. Bayangkan hanya dalam masa beberapa tahun sahaja Malaysia kini sudah mempunyai pelbagai rancangan Realiti TV dalam dan luar negara yang ditayangkan oleh pelbagai stesyen televisyen swasta mahupun kerajaan seperti Akademi Fantasia di Astro, Mentor, “Malaysian Top Host”dan “The Apparentice” di TV3 dan Bintang RTM di TV2.

Adalah menjadi satu menjadi kerisauan dan kebimbangan yang amat sangat apabila menyaksikan pembaziran wang yang begitu tinggi terutamanya berlaku dikalangan pelajar-pelajar sekolah termasuk penuntut universiti hanya kerana ingin mendapat hiburan yang seketika. Nilai SMS Akademi Fantasia pada 2004 sahaja mencecah RM7.5 juta merangkumi 15 juta SMS yang dikirimkan oleh segenap lapisan masyarakat. Menurut perangkaan, Malaysia kini mempunyai 12 juta pengguna telefon bimbit prabayar dan terdapat 12 juta pengguna telefon bimbit prabayar di negara ini yang merupakan 83 peratus daripada 14.6 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia. Bayangkan jumlah SMS yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia di dalam kesemua rancangan Realiti TV yang terdapat di negara kita. Sudah tentu nilainya akan mencecah jutaan ringgit yang sepatutnya disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat dan membina. 
Berdasarkan pemerhatian secara umumnya dapat dirumuskan bahawa rancangan Realiti TV yang disiarkan adalah bersifat hiburan semata-mata. Ianya tidak banyak membantu untuk memajukan perkembangan pemikiran dan kemajuan diri.  Masyarakat kini lebih berminat untuk mengetahui kontroversi peserta Realiti TV dengan tenaga pengajar, komen sinis para juri, ketidakpuashatian peminat dan bermacam-macam lagi berbanding dengan mengetahui apa yang berlaku di Palestine, Afghanistan, Kashmir, Darfour, Sudan dan Iraq. Para peminat Realiti TV menitiskan air mata tatkala peserta pujaan mereka kalah atau terkeluar tetapi ianya tidak berlaku apabila menyaksikan kanak-kanak yang terkorban di Palestine. 

Selain daripada itu persoalan yang sepatutnya dilemparkan di sini ialah adakah berbaloi dengan membelanjakan wang ratusan ringgit hanya demi untuk mengundi penyanyi kegemaran. Alangkah baik sekiranya wang itu dibelanjakan untuk membeli buku ilmiah bagi menambahkan ilmu pengetahuan.  Laporan Kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan olehPerpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun.Kajian ini menunjukkan tabiat membaca yang rendah  di kalangan rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan negara maju seperti negara-negara eropah, Jepun dan  Korea. Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya tidak akan tercapai sekira tabiat rakyatnya yang lebih berfokus kepada hiburan berbanding ilmu pengetahuan.

Trend membelanjakan wang ringgit untuk hiburan seperti SMS ini perlu dibendung sebelum ianya menjadi penyakit kronik kepada masyarakat. Perlu diingatkan sebuah negara yang disegani di dunia memiliki satu ketamadunan yang mempunyai masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi berilmu, beriman, bertaqwa serta berakhlak mulia. Demi mencapai pembentukan akhlak terunggul, ianya memerlukan kegemilangan ilmu bagi menjadi pemangkin kemakmuran dan kemajuan. Di dalam konteks ini masyarakat perlu bijak dalam merencanakan perbelanjaanya bagi menjana kecemerlangan diri. Pembaziran wang melalui SMS yang dikaitkan dengan rancangan Realiti TV tidak sepatutnya berlaku di kalangan masyarakat berilmu pengetahuan. Fikir-fikirkanlah wahai umat manusia. Melaburlah pada tempat yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment