Friday, 20 May 2011

ADA APA DALAM BEG TANGAN WANITA ?

"Wahai umat manusia!Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuannya  (akan keadaan dan amalan kamu).
                                                                                                          (Surah al-Hujurat : Ayat 13)

Wanita menarik nafas lebih kerap dari lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Sistem badan lelaki dan wanita tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarkannya kepada tenaga. Kulit lelaki lebih kasar berbanding kulit wanita yang lebih halus. Wanita lebih halus suaranya berbanding lelaki yang lebih besar dan kasar suaranya. Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang manakala tulang wanita bukan sekadar lebih  kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan oleh Allah dengan struktur tubuh untuk melahirkan anak. 

Demikian juga psikologi, wanita secara umum lebih bersikap mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta, kasih sayang dan hubungan perasaan. Apabila mengamati sesutau benda, kedua-duanya berbeza. Lelaki lebih banyak menggunakan pengamatan tumpuan, manakala wanita menggunakan pengamatan yang luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Pengamatan wanita pula ibarat lampu suluh yang membuka, menampakkan banyak benda. Mereka mahu mengambil tahu semua perkara, daripada perkara kecil sehingga perkara yang lebih besar.Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama. 

Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok saja pada beg tangan mereka, lebih besar daripada lelaki. Lelaki hanya membawa beg  sahaja, hanya dalamnya mempunyai lesen memandu, duit, kad pengenalan dan kad-kad bank saja. Dalam beg tangan wanita, semua ada. Dompet duit, kad kredit, buku bank, alat solek, cermin, tisu, pengetip kuku, gambar suami, gambar anak, ubat,  dan bermacam-macam lagi.  

Kenapa berlaku sedemikian terhadap wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagaian kemungkinan perkara yang berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persedian sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki cukup dengan lesen memandu dan duit, sebab mereka mahu sampai kepada matlamat. Duit untuk membeli dan lesen memandu supaya selamat dari Polis.

Demikian perbezaan yang wujud di antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza. Contohnya apabila kedua-dua bekerja yang terpaksa keluar rumah di awal pagi. Dalam banyak hal, wanita bekerja paling banyak bersungut. Suaminya apabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk ke dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian menunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat. Manakala si isteri,  memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa yang nak ambil, anak belum makan lagi, kalau boleh si isteri mahu memikirkan semua benda, kerana padanya apabila terjadi sesuatu, apakah kesudahannya.

Apabila suami dan isteri pergi ke kompleks beli belah, si isteri apabila masuk sahaja pusat membeli belah, mereka melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain dipegang dan diperhatikan. Kemudian pegang pula kain lain,selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata,si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan terus membeli. Membeli belah bagi lelaki tidak mengambil masa yang lama.

Contoh-contoh di atas menunjukkan cara wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki.Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh bila ke tempat kerja. Si isteri jangan putus asa melihat suami apabila keluar saja dari rumah terus masuk kereta, tanpa mahu mengangkat botol susu anak, kain lampin, dan berbagai-bagi lagi untuk di bawa ke rumah pengasuh. Akuilah kita berbeza. Perbezaaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya supaya saling bantu membantu dan berkasih sayang. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita, maka kita lebih berkasih sayang.